Alhamdulillah, pada tahun ini ABIM Sik telah berjaya mengadakan Karnival Pendidikan Tinggi, Kerjaya, Sains dan Teknologi peringkat Negeri Kedah 2015 pada kali yang kedua setelah dapat mengadakannya pada tahun 2014. Program ini kali ini dijayakan dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Sik, Kelab Rekreasi Sik, Pejabat MARA dan Syarikat Bas MARA Sik, Majlis Guru Kaunseling Daerah Baling Sik, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Pejabat Pendidikan Daerah Baling Sik, PRS SMK Batu Lapan Sik, SMK Agama Sik dan PRS SMK Agama Sik.
Pihak yang datang mengadakan pameran meliputi IPTA, IPTS, ILKA seperti Pusat Giat MARA Sik, Institut Kemahiran MARA Sik, Kolej Komuniti Sik, Institut Kemahiran Belia Negara dan lain-lain. Antara agensi kerajaan yang hadir mengadakan pameran adalah Jabatan Kimi Negeri Kedah. Alhamdulillah, Pusat Sains Negara Cawangan Utara turut menjayakan program ini dengan mengadakan pertunjukan Sains untuk para pengunjung.
Slot - slot yang terkandung di dalam program ini juga merangkumi Konsultasi Pemilihan Bidang Pengajian Tinggi lepasan SPM dan STPM, Motivasi Belajar Bahasa Inggeris, Motivasi Belajar Sains, Motivasi Belajar Peringkat Pengajian Tinggi, Taklimat IPT dan sebagainya.
Alhamdulillah, Penolong Pengarah Kanan (Bimbingan dan Kaunseling) Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Tn Hj Fauzi bin Md Saad telah hadir mengunjungi, melawat dan berkongsi idea sepanjang program ini berlangsung bersama-sama dengan Tn Hj Mohd Habali bin Bakar, Penolong PPD Bimbingan dan Kaunseling Kerjaya Murid Daerah Baling Sik.
Insya Allah program yang telah berlangsung pada 11-12 Mac 2015 bertempat di SMK Agama Sik ini akan diteruskan pada tahun-tahun berikutnya di Daerah Sik bagi memberi peluang yang lebih luas kepada para belia daerah ini khususnya dan negeri Kedah amnya mengetahui peluang melanjutkan pengajian dan merancang kerjaya serta kehidupan mereka dengan sistematik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan