USUL: PEMBANGUNAN EKONOMI DAN KEUSAHAWANAN BELIA
MEMAHAMI BAHAWA
golongan belia merupakan aset penting dalam pembangunan dan halatuju negara
pada masa hadapan, belia yang dianggap ‘aset’ perlulah mempunyai ilmu
keusahawanan dalam memastikan kestabilan ekonomi negara.
MENGINSAFI
BAHAWA semakin maju dan berkembangnya sesebuah negara, semakin hebatlah cabaran
dan rintangan terutama dalam bidang ekonomi dan keusahawanan.
MAKA,
Kami Angkatan
Belia Islam Malaysia Sik mencadangkan:-
1. Semua belia daerah Sik diwajibkan mengikuti
kursus keusahawanan, perniagaan dan kerjaya selama 6 bulan 2 minggu dengan cara
pelaksanaan di sekolah masing –masing selama seminggu / 2 minggu di sekolah
masing – masing sebaik sahaja selesai menduduki SPM/STPM di bawah pengurusan
Pejabat Belia dan Sukan dan dilaksanakan di sekolah. 6 bulan kemudian mengikuti
latihan kemahiran di pusat latihan kemahiran berkaitan seperti pertanian,
perikanan, ict, pertukangan dan sebagainya lagi dengan kerjasama Kolej KEDA,
IKM, IKBN, ILP, Institut Latihan Pertanian dan lain-lain melalui pengurusan
pejabat belia dan sukan. Bagi belia yang telah melepasi umur berkenaan dan
ingin mengikuti program tersebut, boleh memohon melalui pejabat Belia dan Sukan
daerah Sik.
2. Setiap mukim dibina 20 pintu kedai IKS, 20
gerai IKS dan 5 pintu kilang IKS untuk belia kawasan berkenaan di bawah seliaan
Pejabat Belia dan Sukan dan IKS.
3. Sebuah koperasi belia daerah Sik ditubuhkan dan
semua belia daerah Sik digalakkan/diwajibkan menjadi ahli dengan caruman
pembukaan RM20, caruman bulanan minima RM 20 sehingga cukup RM5000. Selepas
jumlah berkenaan, terpulang kepada ahli berkenaan untuk menambah jumlah
tersebut atau berhenti mencarum. Semua wang caruman berkenaan boleh diambil
keseluruhannya sekaligus setelah ahli mencapai umur 41 tahun ke atas atau had
maksimum belia yang ditetapkan dari masa ke masa oleh kerajaan.
4. Setiap belia yang bekerja sendiri perlu
mempunyai caruman PERKESO/Takaful untuk keperluan kecemasan dan KWSP untuk
simpanan/keperluan masa hadapan. Oleh itu, cawangan PERKESO dan KWSP perlu
ditubuhkan di daerah Sik. Dan Caruman PERKESO wajib dibuka kepada semua
individu yang bekerja sendiri.
5. Satu jadual khas boleh disusun untuk pihak Koperasi
(Angkasa), Tekun dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mengadakan taklimat di surau
atau masjid atau dewan orang ramai untuk setiap persatuan belia di kawasan
masing – masing supaya semua mengetahui proses menubuhkan koperasi dan membuat
pinjaman perniagaan.
6. Menaikkan dan menyelaraskan harga lantai barang komoditi getah. 80%
penduduk Sik menoreh getah.
7. Menurunkan harga barang keperluan asas.
8. Menurunkan harga minyak kenderaan khususnya
minyak diesel dan ron 95 kerana ianya kegunaan semua peniaga dan kegunaan umum
masyarakat biasa.
9. Menggalakkan pembukaan cawangan – cawangan bank
di daerah Sik seperti bank CIMB Islamic, bank Muamalat, bank RHB Islamic (urusan
PERKESO) bagi memudahkan urusan perbankan seperti pembukaan akaun bank oleh
belia yang menyambung pengajian dan urusan lain. Abim Sik pernah membuat
permohonan ini suatu ketika dahulu. Alhamdulillah, hasilnya Bank Rakyat dan
Bank Islam dibuka di Sik. CIMB menarik diri saat akhir.
10. Menyediakan jaringan pengangkutan awam
merangkumi seluruh daerah sik iaitu dari
Pekan Sik ke Kota Aur melalui jalan Telaga Batu dan Chepir dan juga dari Pekan
Sik ke Jeneri melalui jalan Begia dan Sungai Senam serta laluan lain yang
sewajarnya.
11. Menyediakan jaringan pengangkutan awam
merangkumi seluruh Malaysia iaitu dari Pekan Sik ke Kelantan, Terengganu dan
Pahang serta dari Pekan Sik ke Perak, Seremban, Melaka dan Johor Baharu. Ramai
belia Sik yang belajar ke negeri ini. Cabaran pengangkutan awam menjadikan
sebilangan pelajar yang mempunyai pertalian terlalu kuat dengan keluarga tidak
mahu sambung belajar ke negeri berkenaan memandangkan masalah pengangkutan
seandainya berlaku kecemasan. Dengan melabelkan mereka sebagai orang
bermotivasi rendah tidak menyelesaiakan masalah kerana di dalam ilmu
psikologi/kaunseling mereka ini dikategorikan sebagai individu berorientasikan
keluarga (maknanya meletakkan keluarga sebagai keutamaan dalam kehidupan dan
mereka tidak kisah dengan pendapatan tinggi atau kerjaya yang hebat berbanding
dengan individu berorientasikan keuntungan/penghargaan).
12. Menyediakan tarikan pelancongan untuk orang
luar datang ke Sik seperti muzium yang tiada lagi di tempat lain di Malaysia
seperti Muzium Pondok, Muzium Kitab Thuroth, Muzium Pertanian, Muzium
Perikanan, Muzium Penternakan, Muzium Akademik (muzium interaktif ikut
matapelajaran dan silibus KPM dan ikut silibus pondok/sekolah agama), Muzium
Sejarah dan Tokoh Islam.
13. Kelemahan jaringan pengangkutan awam ke Sik dan
tarikan pelancongan akan menyebabkan orang luar tidak masuk ke Sik dan usaha
memperbanyakkan gerai/lot niaga/menggalakkan masyarakat berniaga di setiap
mukim akan menjadi sia-sia/projek gajah putih kerana tiada pelanggan yang
mempunyai keupayaan kuasa beli yang tinggi dan akhirnya perniagaan masyarakat
setempat akan ditutup.
14. Meningkatkan capaian telefon dan internet ke
seluruh kawasan di daerah Sik untuk memudahkan masyarakat melakukan perniagaan
secara atas talian, memudahkan pelajar melakukan tugasan pelajaran, memudahkan
urusan belia melakukan proses permohonan sambung belajar dan memudahkan masyarakat
melakukan urusan secara atas talian dengan agensi kerajaan atau pihak lain yang
berkaitan. Contoh kawasan yang masih mempunyai talian telefon dan internet yang
lemah adalah Kota Aur, Gulau, Telaga Batu, Chepir, Hujung Bandar, Batu Lapan, Begia
dan lain – lain.
15. Menubuhkan hospital swasta sebagai tarikan
pelancongan dan menjadikan Sik sebagai Hub Perubatan Pelancongan sesuai dengan
pemandangan alam sekitar kurniaan Allah yang begitu cantik. Suatu ketika
dahulu, ABIM Sik pernah memohon beberapa hospital swasta membuka cawangan di
Sik. Jawapan ketika itu, masyarakat Sik majoritinya tidak mempunyai takaful.
Namun, setelah Bank Agro dan Bank Rakyat memperkenalkan takaful mampu milik,
ramai masyarakat Sik sudah membeli /memiliki takaful perubatan/kemalangan.
16. Meningkatkan profesionalisme institusi masjid
dan surau dengan menjadikan perjawatan mereka sebagai suatu perjawatan hakiki
di bawah Majlis Agama Islam Negeri yang bernaung di bawah institusi Raja dan
bukannya berbentuk perjawatan elaun serta diwujudkan pelbagai jawatan
professional di dalam organisasi pengurusan setiap masjid seperti sebuah
pejabat masyarakat setempat.
Pihak
ABIM Sik berterusan akan melakukan usaha ini melalui surat-surat yang dihantar
kepada pihak – pihak berkenaan. Semoga dengan campurtangan pejabat parlimen dan
dun di daerah Sik akan dapat mempercepatkan lagi semua proses ini tercapai
untuk kebaikan masyarakat di daerah Sik dalam pelbagai aspek kehidupan dalam
usaha mencari kredhoan dan keberkatan di sisi Allah s.w.t.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan